PPSMI : Sudah Sudah lah Tu…

Salam Sejahtera ke Atasmu, saudara/i Aiyrie.

Jangan terlalu mudah untuk berkecil hati mahupun bersedih. Mulakan dengan bismillah, dan baca tanpa sebarang prejudis, nescaya saudara/i akan dapat lihat dan cerna akan maksud tulisan-tulisan saya dan sahabat-sahabat saya kebelakangan ini.

Suara kami bukan dilontarkan sia-sia. Bukan niat hanya untuk mengkritik, tapi lebih kami tekankan untuk membetuli. Tona nada seirama yang mungkin kedengaran keras pada cuping sesetengah golongan – sengaja lantang dialunkan, agar mampu menyinggahi setiap corong dan lohong; agar tidak hanya dipandang sepi dan sekadar melewati telinga kanan ke kiri.

Tidak terniat, malah tak pernah terlintas langsung sekelumit nawaitu pun di hati saya untuk memperlekeh, jauh sekali memperleceh bahasa ibunda kesayangan saya yang satu ini. Cuma, hati seakan digeletek bilamana ada pihak yang memakai tanda nama ‘pencinta bahasa’, mengambil jalan yang terlalu mudah dan memandang dengan seringan-ringan pandangan akan proses mengalihbahasa. Adakah wajar ‘joystick‘ itu terus langsung ditafsir menjadi ‘kayu ria’? Bukankah lebih molek dan cantik andai dinamakan saja ‘alat kawalan’ atau ‘tuil kawalan’ (sekadar memberikan cadangan). Begitu juga perihalnya dengan ‘coenergy‘ – apa kata gantikan saja dengan ‘tenaga sampingan’ (atau apa jua istilah yang lebih cantik, asalkan tak melencong jauh dari definisi dan terminologi asal) – bukanlah lebih jitu dan sopan bunyinya, berbanding kotenaga?

(KOTENAGA. Hmm. Tiba-tiba teringat, ada pihak terlibat yang melarang penggunaan ‘butuh’ untuk semua maksud, walaupun semua sudah maklum akan tafsirannya selain ‘itu’, dan juga pengharaman MORPHIN untuk Power Rangers yang tiba-tiba saja menjadi bahan perdebatan – hmm.. walaupun MACAM BODOH bunyinya, tapi boleh pun elak dari double meaning ek!)

Andai perihal mengalihbahasa istilah-istilah penting inipun dipandang ringan, janganlah lagi kita berangan untuk menggunapakai kesemuanya dalam proses persekolahan, pendidikan, pelajaran dan pembelajaran, wahimma industri. Siapa yang tak mahu bahasa ibunda menjadi medium pendidik utama anak bangsa kita sendiri? Siapa yang tak bangga andai loghat warisan zaman berzaman sekali lagi diangkat menjadi wacana unggul memapankan ummah sendiri?

Walau bagaimanapun, hakikatnya kemahuan dan kebanggaan itu lantas saja menjadi hambar dan lemau, apabila proses perlaksanaannya dibuat sekadar melepaskan kentut di tangga; kelazatannya hanya dinikmati oleh sang pelepasnya sahaja. Kepuasan sendiri. Tunggal. Wahid. Tidak jamak. Jauh lagi majmuk. Sarwa jagat? JANGAN MIMPILAH.

Dialih bahasa dengan cincai. Sesetengah istilah diterjemah, sesetengah yang lain dibiarkan tertunggak. Siap. Kemudian diajar pula di sekolah rendah, santak ke sekolah menengah. Selesai. Kemudian diabaikan begitu saja, kerana bahasa penjajah pula mengambil alih di universiti. Menimbulkan ribut taufan konfiusifikasi, bagai proses peralihan nasi ke roti untuk sarapan pagi. Cirit birit minda yang teruk berlaku sepanjang tahun pertama, gara-gara perut akal yang tak mampu nak serasikan diri. Elok saja serasi, alam dewasa yang nyata pun menjengah. Tapi sayang, istilah-isitilah bahasa ibunda cincai itu tidak lagi kunjung tiba dalam industri. Lantas, di mana relevannya?

Nah, inilah yang KAMI semua maksudkan, wahai saudara/i Aiyrie yang dihormati. Bukan perlekeh, jauh sekali perleceh, tetapi sekadar mendengus perlahan lantaran terpandang sumbang sumbing kerja buat pendokong bangsa kita sendiri. Apalah salahnya, di manalah khilafnya jika direnung lebih lama lagi sebelum mengambil kata putus untuk menzahirkan sesuatu perkara, yang pada kemudian harinya bakal dijadikan kitab panduan oleh anak bangsa kita sendiri? Buang masakah? Rugi duitkah? Bazir tenagakah?

Bincang (kita memang pakar). Rancang (masih lagi jockey). Laksanakan (err.. belum tentu). Semuanya perlu dilakukan dengan maha teliti. Lebih halus daripada seni. Untuk apa kita wujudkan sistem yang bakal hanya diguna untuk 11 tahun, dan kemudian beralih kepada sistem lain untuk aplikasi yang abadi sampai mati? Dan andai kita hanya menumpu pada sistem kedua itu, adakah akan terus hilang jati diri bangsa dan identiti?

Tatkala keletihan sudah parah menjengah diri, suka amatlah saya berikan konklusi saya (yang masih belum melepasi sempadan jahiliyah bahasa ini) akan topik PPSMI yang tampak masih belum nampak pun akan senjanya:

Belilah ‘kereta’ yang mantap, barangkali buatan negara luar yang masyhur dengan kejuruteraannya, mungkin yang harga berjuta-juta, yang tak mampu dibeli oleh anak-anak kelahiran Kulim Baling dan daerah yang sewaktu serta ibubapa mereka yang hanya berbudi pada tanah (melainkan dengan cara berhutang dan berkorban mengikat jerut perut), andai kereta itu mampu bertahan selari dengan nyawa pemiliknya; buat dijadikan aset untuk si pemilik memacu hidupnya. Andai gusar pembelian itu bakal mengakibatkan kita lupa kualiti dan identiti barangan buatan Malaysia, maka permantapkan dan perhebatkanlah prestasi jentera kenderaan kita, biar benar-benar semasyhur dan setanding dengan yang lain; dan bukan hanya untuk digunakan pada 11 tahun yang pertama semata-mata.

Tinggi amatlah harapan saya, agar saudara/i Aiyrie mampu mencerna kalam penyudah saya ini. Tinggi jugalah doa saya, agar tiada lagi yang akan mendengar lantunan suara saya dengan tone, pitching dan key yang salah. Biarlah harapnya tidak lagi flat atau sharp walau satu mahupun setengah hoon sekalipun.

Wassalam.

p/s : Hmm.. tu saja kot. Penat laa isu ni. Rasa macam orang jahat pun ada. Lepas ni, biar orang laen pulaklah terus bercakap. Aku nak jadi penengok dan pengomen ja. Senang. Cakap banyak pun tak guna, bukan diorang buat apa pun. Satu pihak tak paham, terus protes. Satu pihak buat pekak, buat-buat cam takde orang protes. Owh ya. Tahniah Malaysia, kerana dapat pengikhtirafan oleh UNESCO, atas keberjayaan merealisasikan sistem pendidikan unggul. (Hmm.. kenapa dulu masa takde PPSMI takde sapa pun nak ikhtiraf ek? Ooppsss.. terlebih sudah!). Wassalam…

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Ilham dari pujangga
berdiam diri bukan ertinya kau kalah
biar cercaan berkali datang menimpa
sudahlah memang adat di dunia
bersuaralah kamu pada perkara berguna
itulah sifat orang bijaksana..

Berikanlah tenaga
untuk nusa dan negara
ini zaman kemajuan
jangan kita ketinggalan..

Kasih sesama manusia
seperti anda sayangkan diri anda
pandang yang satu kepada yang ramai, sayang
pandang yang ramai kepada yang satu..

Tugukanlah hatimu
pertahankan ibu pertiwi
jauhkanlah dirimu
dari perkara yang merugi..

Maaf mudi dan muda
kususun jari sepuluh
aku bukanlah seorang pujangga, sayang
hanya seorang penyanyi biasa…

Advertisements

5 thoughts on “PPSMI : Sudah Sudah lah Tu…

  1. Btul btul..
    Pikir banyak, cakap banyakpun tak guna.
    Bukannya deme nak paham pun.
    Apa yang deme pikir je betul.
    Kite ni tak penah yang betulnye.
    Huh.Nyampah i.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s