Lumpur

Kuala Lumpur.. Kuala Lumpur
menyinari hidupku
kota yang penuh dengan cabaran..

Kuala Lumpur.. Kuala Lumpur
menyinari hidupku
kota yang penuh dengan harapan…

Aku menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke kota ini pada ketika usiaku belumpun genap 7 tahun. Ketika itu, aku dan keluarga dalam perjalanan menuju ke Port Dickson.. jadinya, itu bukanlah boleh dianggap kunjungan rasmiku ke sini. Selang 2 tahun kemudian, aku jengahkan lagi wajah desaku ke sini. Kali ini dengan satu misi penting – mempersembah suara dan bakat kecilku ke bawah DYMM Seri Paduka Bagina ketika itu, Sultan Adzlan Shah. Selama seminggu aku di sini, tanpa ayah dan ibu. Hanya ditemani rakan-rakan seperjuangan, dan tenaga produksi lain yang kupanggil abang², pakcik² dan cikgu².

Hanya selang 4 tahun selepas itu barulah aku jejakkan kaki buat kali ketiga ke sini. Itupun hanya beberapa minit, dalam perjalanan ke Johor Bahru, bersama rombongan Orkestra SMSSMJ. Bas buruk berwarna putih itu singgah di tepi lebuhraya, menanti waris kepada salah seorang kakak senior menitipkan buah tangan, bekalan buat kami di tengah jalan.

Itu tahun 1997. Usiaku hampir mencecah 13 tahun. Dan baru 3 kali kakiku memijak bumi berlumpur ini. Lawatan kali keempatpun hanya menjengah 4 tahun selepas itu, usai SPM. Aku temani arwah Abah bertemu majikannya di sini. Hmm…

Mungkin kerana ketidak-kerapan itulah, maka hatiku meluap-luap untuk merasai pahit manis hidup di sini. Sejak kecil, hingga dewasa menjengah, tak putus-putus aku mengharapkan itu. Aku ingin jadi sebahagian dari kesibukan kota ini. Aku ingin menjadi penyumbang kepada kelajuan tempo dan kerancakan melodi metro ini.

Sama seperti jutaan warga kota yang lain – aku pernah hanya menyaksikan kesibukan hidup di kota ini menerusi kaca televisyen cuma. Aku juga pernah hanya bermimpikan kalut kemelutnya berpandukan bayangan-bayangan dalam penulisan yang kubaca saja. Aku pernah saja menanam cita-cita untuk menetap di sini dan berkerjaya, kerana minda dan jiwaku telah disogok dengan ideologi ‘kota inilah puncak dunia di Malaysia’.

Setelah separuh dasawarsa kudepani, ternyata bayangan-bayangan itu mulai kabur. Separuh dekad aku hidupi, ideologi itu mula sedikit demi sedikit terkukur. Sedarku mula mengajar, logikku mula mendetik. Hidup ini, tidak kira di mana, tidak semuanya akan indah. Apatah lagi di kota ini, yang warna-warna hidupnya bebas bertebaran.. melayang rambang bertebakan.

Kota ini lumpurnya berwarna warni. Kelmarin pelangi, hari ini mungkin saja kembali putih. Tapi harus ingat, jangan tenang dahulu – kerana ia bisa saja jadi kelabu atau terus saja hitam menjelang lusa. Maka dengan itu aku harus bertahan, dan bersiaga. Aku. Kalian. Kita. Kita semua. Jangan asyik dengan warna.. kerana apa jua wajahnya, lumpur tetap lumpur juga.

Kadangkala terasa jiwaku bagai dilapah, diragut tinggal separuh nyawa. Moral tidak laku di sini, hanya materi menjadi nadi. Kurangnya materi, erti segalanya mungkin saja menjadi mati. Namun mahu atau separuh mahu, kugagahkan diri. Jika jatuh, aku tuil gempal badanku melompat bangun kembali. Jika tersadung, kuatur semula pijakan kaki sambil menyepak batu yang menyadung itu jika sempat, ke tepi. Aku harus rakus. Hidup mesti terus. Bukan untuk aku, tetapi untuk Dia.. dan dia-dia yang lain.

Bertuahnya aku, kerana ada saja tangan yang menghulur untuk lebih cepat aku kembali berdiri – tiada penghargaan yang dapat disama-maknakan. Justeru hanya satu harapku – moga aku akan mampu terus melangkah. Moga semangat yang dikandung jiwaku tidak bisa patah. Dan moga satu hari nanti bisa tanganku ini pula menghulur, agar semua jiwa yang lain tidak terus menerus tenggelam tersungkur dalam lumpur yang berwarna, atau lumpur yang putih bersih, wahimma lumpur yang hitam berkelabu. Sebabnya?

Lumpur, dalam apa rupa dan warna zahirnya pun, ia tetap serendah nilai harga lumpur juga. Sedar yang itu.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Kau mampu patahkan sayapku
kau mampu tambatkan kedua kakiku
tapi kau tak akan dapat
mematahkan semangatku untuk hidup..

Lampu neon di gedung indah
hanya pemikat mata yang tergoda
tapi aku kan tetap berjalan
menuju tujuanku di sana..

Berdendang anak jalanan
berdendang dengan rentak kehidupan
kumohon perlindungan Mu
Yang Esa..

Aku dan mereka sama
punya hati dan punya cita cita
kota ini tempatku belajar
erti hidup..

Kutinggalkan kampung halaman
kutinggalkan semua yang kusayang
demi masa depan yang cemerlang
semoga aku diberi pedoman…

 .. credits to sifu & kembara.

Advertisements

2 thoughts on “Lumpur

  1. haha aku ada dlm bus ke jb utk orkestra juga..kenangan indah tuuu form 1 dah p ujung msia..heheee.. weh ko nih bole jd penulis, pengubah skrip lagu, pemuisi.. sgt sedap bahasa hang.. aku ni lemah bm.malunya baca entry hang bahasa sikit punya cantik 😛

  2. Sangat gedik sekali kenyataan saudari itu, cik Huserk.
    Heh.

    Ala bukan slalu. Bila mai mood ja, jadi la lagu ni.
    Bila kpala otak ngan kpala lutut tiba² nak duduk selari. Huhuu.

    Er.. aku memang penulis pun la ni. TA-PI, lepas geram kat sini sebab rancangan yang aku buat mana boleh tulih lagu ni, takut suma orang tidoq depan tv. Hehe.

    p/s : Daku juga suka blog saudari la. Sangat realiti. Lalalala~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s