Kisah Si Alai Berjanggut…

DUA TAHUN.. satu tempoh yang agak pendek secara teori, dan tidak juga terlalu singkat secara amali. Namun bagi aku, masih belum cukup memuaskan untuk memungkinkan aku mengenali seorang insan bernama Mior Ahmad Fuad.

BANYAK JUGA yang aku tahu tentang beliau, namun jauh sekali dari berani untuk aku akui diri sebagai salah seorang yang kenal akan beliau. Tabiat beliau, ayat yang gemar ditutur, makanan yang sering menjadi pilihan, lokasi yang acap beliau singgahi dan sebagainya – tidak mampu menjadi tiket nombor untuk aku beratur sekalipun dalam barisan panjang itu.

KEHILANGAN telah pun mula aku rasai pada saat Abang memaklumkan kondisi beliau padaku Selasa lalu. Impaknya? Abang, pengacara TV terbaik negara, tiba-tiba tersasul dengan amat kerap sepanjang hari. Setiap kali waktu senggang, pasti kanta itu berkaca kembali. Dan aku? Aku tahu, kerja aku bukanlah selicin mana.. namun untuk melakukan LIMA kesilapan berturut-turut bukanlah sesuatu yang ‘aku’. Dan ternyata, seluruh produksi juga berkongsi rasa yang sama.

HOSPITAL SELAYANG seolahnya menjadi rumah kedua bagi kami semua bermula malam itu. Usai saja rakaman, situlah yang kami tujui sehingga dinihari. Setelah hanya sekadar berlonggok di lobi hospital pada malam pertama, syukurnya niat kami dikabulkan pada malam kedua; walaupun pada mulanya semua tidak lagi mengharap. Kata hati aku ternyata jarang sekali berbohong; itulah saat terakhir aku menatap wajah itu.

KALI TERAKHIR kami berbicara sudah agak lama, hampir dua minggu lalu, di Illanun. Maaf, tiada sebarang petanda aneh, jika itu yang diharapkan berlaku. Semuanya seperti biasa. Terlalu biasa. Hanya aku saja yang agak bergegas pada hari itu, walhal selalunya tidak pernah aku kisah untuk melepak santak ke pagi bersamanya. Perang lirik memaksa aku menghadkan masa dengan sesiapa saja. Jika saja aku tahu…

BILA aku bentangkan kisah aku dengan rakan-rakan di meja kopi, aku lantas menyedari sesuatu – aktiviti setiap satu antara kami bersama beliau jarang sekalinya sama. Seolah-olah rutin harian beliau serta setiap persona yang beliau simpan dalam diri, telah dibahagikan sama rata untuk habuan, bahagian kami masing-masing. Ringkasnya, ini meninggalkan hanya satu jalan untuk menghasilkan karya biografi yang unggul tentang beliau – kumpulkan kesemua rakan beliau dan gali setiap cerita sedalam mungkin. Setiap seorang, satu persatu, sedalam mungkin.

AKU ULANGI, jutaan ampun dan maaf aku pinta, mewakili anggota-anggota ‘keluarga besar’ kami ini, andai kata tutur dan lenggok bahasa yang terkandung dalam coretan kami walau di mana-mana medium sekalipun, telah mengguris privasi serta perasaan mana-mana pihak. Mungkin ada yang nampak kasar, tidak senonoh, kurang sopan, biadab dan langsung tidak bersesuaian. Cantik atau buruk mana pun ia, itu saja yang boleh mengubat kerinduan kami terhadap beliau kerana itulah gaya dan rupa sebenar pergaulan kami dengan beliau sehari-hari, sedari dulu.

PASTI saja ada yang skeptikal, memilih untuk mencebik dan menjuihkan bibir pada kepelbagaian reaksi yang ditunjukkan oleh aku serta rakan-rakanku atas berita pemergiannya itu. Hmm.. itu hak kamu, dan walau untuk apa, bila, bagaimana dan kenapa pun – hanya kamu saja yang berhak untuk mengubah herot mulut itu menjadi lurus kembali pada normanya. Akan tetapi.. percayalah, akan kamu rasakan yang sama saja jika kamu pernah mengenali seorang Din Beramboi Alai Berjanggut.

BUAT Kak Su, tabahlah mengharungi segalanya. Jika ada kesempatan bersua, izinkan saya pinjamkan kekuatan Mama dalam kisahnya untukmu. Buat Kakak – kematanganmu pada usia sehijau itu sudah cukup mengagumkan. Jaga adik-adik ya. Shafiq – jaga mama, kakak dan adik. Kamu saja wira yang tinggal. Bakat arwah yang banyak diperturunkan kepada kamu, jangan sia-siakan. Dan ingat, er.. handset tu kegunaannya juga untuk menelefon dan menghantar SMS; bukan hanya untuk bermain games. Guna dengan cermat ya. Ain – andai suatu hari nanti pemahamanmu menjelma, ingatlah betapa beruntungnya kamu menjadi anak seorang legenda. Dan percayalah, arwah sentiasa ada untuk melihat kamu, walau ketika itu kamu tidak lagi ‘pendek’.

UNTUK semua teman – teruskan bercerita. Sambung saja semua lipurlaranya. Seperti yang kita semua setujui, Abang Din tidak pernah hilang. Malah dia sentiasa ada.. ada saja dalam kalangan kita. Tatkala setiap seorang dari kita sedang mabuk dalam kesedihan, mungkin kita sedang rancak dibahankannya tanpa sedar.. siapa tahu? Nama pun Abang Din…

Al Fatihah.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Malam sunyi terdengar
sayup sayup lagu yang merdu
menghias malam yang sedang hening
melukiskan cinta hidupku..

Dengan tidak kusangka
air mata menitis membasah
tersentuh di dalam hatiku ini
terharu pada kisah itu..

Hari demi hari kutempuhi
mengharap kehadiranmu
walau dikau kini telah pergi
ku mengharapkan cintamu..

Dengarlah rintihan malam
semoga dikau selalu bersamaku
pada hamba yang kini berduka
dari cubaan dugaan dunia…

..credits to othman hamzah.

Advertisements

2 thoughts on “Kisah Si Alai Berjanggut…

  1. Sudah terima kenyataan tapi rasa tidak percaya itu masih ada.. Umpama khabar angin kerana tidak melihat dengan mata sendiri keadaan Abang Din….. Al-Fatihah…

  2. Pingback: Era « Aku.. Diriku.. Dalam Aksaraku… 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s