Naik Lagi?

Pak Din berpeluh-peluh.. memikirkan apa yang bakal dihadapi andai dia bertindak. Perkara ini bukan perkara baru. Tindakan ni pun terpaksa dia ambil, selepas bertahun lama dia fikirkan. ‘Do, or die‘ Mr. James Smith, penumpang tetap berbangsa Inggeris Pak Din selalu pesan. Ya, dia mesti bertindak, atau…

………………………………………………………………………………………………………………..

Selama ni, syarikat teksi tempat Pak Din bekerja memang tip top. Itulah syarikat teksi pertama di Bandar Sungai Petani ini. Malah santak ke daerah Kota Setar wahima Balik Pulau pun. Serius. Mana-mana warga SP nak pegi, syarikat SAMA SAMA MENGEJAR MIMPI (SSMM) inilah yang jadi pilihan.

Tapi, itu dulu. Hari ni pesaing dah makin banyak. Ada yang datang dan pergi tak kembali, macam TAJAM BULU TAJAM Cab (TBT) tu. Yelah, punyalah nak ambik hati penumpang, ada ke dia bagi tambang free untuk destinasi kurang daripada 20km? Sudahnya, diorang sendiri yang bungkus.

Ada jugak yang masih kekal tapi hidup segan mati tak mau, macam FREEDOM TAXI. Tambang sama macam Pak Din, tapi servis dia lebih meluas. Penumpang bebas untuk pergi ke mana saja. Masalahnya cuma satu – jumlah teksi. Ada kot dalam 2-3 bijik camtu. Itupun silih berganti pemandu dia, tak pernah komited. Haih.

Ada tak ada pun, TEKSI HONEYMOON. Walaupun tambang dia mahal sikit dari Pak Din, entah kenapa masih ramai pilih untuk naik teksi diorang. Mungkin sebab branding; konon boleh bawak penumpang sampai ke bulan. Itu janji diorang.. tagline diorang. Ramai pulak yang anehnya termakan!

Pak Din tak kesah. Pak Din tak hairan semua tu. Lagi ramai pesaing, lagi bagus. Baru majikan dia sedar sikit, yang company diorang sebenarnya tak jauh mana pun dari takuk lama. Teksi, masih teksi lama. Pemandu, jangan cakap la. Sebab pemandu diorang ni jugak la penumpang ramai yang lari. Bukan setakat malas ambik penumpang, malah ada jugak insiden-insiden yang lebih memualkan. Dengar kata, kes raba cabul dalam teksi pun banyak! Menggeleng Pak Din dibuatnya. Bukan Pak Din tak kenal atau tak tau, tapi mengenangkan polisi menjaga nama baik syarikat, Pak Din diam dalam keterpaksaan.

Nak kata gelojak jiwa muda, yang buat perangai tu semua pemandu berusia macam dia jugak. Malah ada juga yang lebih lama daripada dia. Haih. Bukan tak ada pemandu baru, tapi ramai yang tak tahan dugaan. Cita-cita nak cari duit lebih, tapi kerjanya nak sedikit. Sudahnya, majikan susah nak percayakan orang baru. Walhal dalam waiting list ada ramai lagi orang muda yang berbaris untuk jadi pemandu SSMM; cuma tak tau la bila baru boleh tembus. Haih lagi.

Walaupun tindakannya ini melawan arus, Pak Din nekad. Kerja bawak teksi bukan kerja enteng. Ini kerja sejati; warisan dari era ayahandanya lagi. Bukan setakat membawa penumpang, malah memastikan penumpang selamat pergi dan pulang dari menyempurnakan urusan seharian. Maka dengan itu, iltizam Pak Din semakin kuat. Perlantikannya sebagai Ketua Pemandu Teksi Gred A tidak akan dibiar tersia.

Tiba-tiba fikirannya terlontar ke satu peristiwa, beberapa minggu yang lalu…

………………………………………………………………………………………………………………..

“Pak Din yakin? Dengan cara tu, penumpang kita akan bertambah?”

“Err.. ya, saya yakin, Muiz. Sangat yakin. Walaupun tidak ada graf untuk saya tunjuk, macam Mualam buat hari tu, tapi saya rasa tak salah kalau kita cuba,” jawab Pak Din; cuba meyakinkan majikan mudanya itu.. atau sebenarnya lebih kepada meyakinkan diri sendiri. Mualam tu adik kepada Muiz, yang sedang cuba melobi Muiz supaya menerima tawaran memasang pelekat kereta carikerja dot com pada badan teksi mereka.

“Ya.. memang tak salah mencuba. Cuma.. erm.. tak berapa sedap bila melihat pada kos yang terpaksa syarikat tanggung nanti. Toksah kata untung, pulangannya belum pasti nak cover modai pun lagi.”

Muiz bukan mengalah sebelum berjuang, walaupun bunyi ayatnya cenderung ke arah itu. Dia hanya cuba memastikan senjata yang dipikul cukup tajam, sebelum ditertawakan musuh di perbatasan kelak. Tambahan pula, ini bakal mempengaruhi kayu aras kredibilitinya sebagai pengganti arwah bapanya.

“Kalaulah.. Arwah..” Pak Din terlanjur kata. Menyesal mengungkit kisah lama.

Mata Muiz mencerlang, tercabar sekali hatinya, tetapi cepat saja redup kembali. Mengeluh. Rasionalnya ternyata cepat mengatasi emosi.

Pak Din menarik nafas, tanda maaf dalam bisu. Tiba-tiba hatinya kembali membara.. bukan dengan amarah, tapi semangat. “Baiklah, izinkan saya start dulu – kosnya biaq saya yang tanggung!”

Muiz menggeleng.. dan menggeleng.. dan menggeleng. Ini diulang beberapa kali, sebelum akhirnya anggukan menyusul.

Pak Din tersenyum, antara kelat dan pasti.

………………………………………………………………………………………………………………..

Hari ini hari penentu. Semuanya sudah sedia.. tinggal menunggu penumpang saja lagi. Dari jauh, kelihatan suatu susuk tubuh menghampiri. Senyum yang baru hendak mula menguntum, kini kendur kembali. Alahai.. si Pe’ot Tiga Suku. Apalah sangat dapat diharapkan.

“Pak Din! Wah.. teksi baru! Cantik! Nak! Nak tumpang! Nak balik Taman Ria!”

Pak Din membisu, cuba untuk tidak mengendahkan.

“Pak Din, saya serius ni! Ni nampak.. banyak woo..” Pe’ot tensi. Mungkin dia bodoh alang, tapi bukan terencat akal. Bodohnya bukanlah total. Matematik ringkas serta logik masih mampu dicerna otaknya, cuma mungkin perlahan sedikit. Tuntas digawangkan tangan yang terkandung segumpal not merah.

“Ok. Tapi mahai sikitlah. Kereta baru. Ada air-cond. Hang jugak yang sedap nanti. Buleh?” Pak Din cuba mengumpan, walaupun harapan yang ada tak sampai pun 50-50.

“Alah.. apalah sangat Pak Din. Cikgu Ros baru ajaq kemarin, alang membeli menang memakai tau! Haa..” Pe’ot yakin, lalu terus membuka pintu belakang seraya duduk; ala-ala bos dalam drama swasta.

‘Permulaan yang baik ni,’ fikir Pak Din. “Ok. Jangan hang pulak komplen sat ni sudah lah naa.” Senyum yang tak jadi tadi, terukir juga.

“Yeay! Yeay! Naik teksi baru! Yeay! Yeay! Naik teksi mahai!”

Sedang Pe’ot seronok, Pak Din tiba-tiba terkenangkan kenduri arwah Cikgu Ros yang baru saja selesai beberapa minggu yang lalu. Alamak…

………………………………………………………………………………………………………………..

Alhamdulillah. Penumpang-penumpangnya tidak selembam mana. Rata-rata memuji usahanya mencantikkan teksi demi keselesaan mereka, walaupun terpaksa membayar lebih sedikit daripada biasa. Benar, ada juga yang membangkang; tapi lebih ramai yang akur – ada yang separuh terpaksa, ada yang faham dan sepenuh rela. Redha.

Yang membangkang pun, memang sedari dulu bukan pelanggan tetapnya. Malah dari dulu lagi mereka memang tak pernah senang dengan syarikat SSMM ini, hatta ketika arwah bapanya dan Tuan Haji masih ada sekalipun. Mereka lebih gemarkan syarikat lain. Apa saja yang dilakukan oleh SSMM, tidak satupun yang manis. Payau belaka.

Dahulu, ketika Syarikat Henfon Orang Kuning melancarkan sistem periklanannya pada badan teksi SSMM Pak Din itu pun, mereka buat bahan. Diejeknya kereta Pak Din Ultraman lah, Gaban lah. Raksasa Gorgon pun ada. Tetapi nama hendak menumpang teksinya? Haram sekali pun tidak.

Warga pemandu syarikat lain apa kurangnya. Sepanjang berselisih dengannya, semua mengangkat tangan sambil membunyikan hon – sesuatu yang tak pernah terjadi sepanjang kariernya itu. Malah, topik dia dan teksi barunya menjadi isu utama di Kedai Kopi Pak Bahadun tengahari tadi. Dalam sepuluh, adalah dua tiga saja yang bersetuju.

………………………………………………………………………………………………………………..

“Cekik darah! Membaziaq duit penumpang!” bantah keras Dun Kedot, ‘hero’ Teksi Honeymoon yang sejati. Seperti biasa, konco-konconya menyokong di belakang.

“Alah.. apa salahnya. Depa jugak yang selesa. Lagipun, mana buleh hang anggap duit tambang tu duit penumpang, Dun. Depa dah bayaq, kita dah hantaq depa, jadi duit kita la. Abih tu, hang makan minum tu, pakai duit penumpang ka?” sinis benar Afzanizam Hussin, ‘kroni’ setia Pak Din sedari dulu, mencantas bangkangan Dun Kedot dan kawan-kawan.

“Tahnya.. bukan mahai sangat pun. Kereta baru, tapi naik 5 kupang ja pun. Kalu aku mampu, aku pun nak buat camtu. Tapi naik mahai sikit lagi la, 5 kupang tu murah sangat. Macam subsidi pulak. Hehe,” Nordin Khamis, cikgu pencen yang membawa teksi sekadar suka-suka. Freedom Taxi juga banyak bersandar pada hasil kutipannya sehari-hari. Pendapatannya agak stabil kerana ramai guru-guru senior memilihnya sebagai pemandu tetap, sebab itu dia bebas menyokong siapa saja mengikut rasa hati dan keselesaannya.

“Huh.. apa itu olang panggey? Ha, KAPITALIS! Gua pun tak setuju. Jikalau kita kasi naik tambang, itu menyusahkan penumpang, tidak kila apa juga alasan. Takpa Dun. nanti saya cakap sama Tauke Ah Chong, kasi tambah lagi dua belaih teksi balu. Tambang – tak payah kasi naik punya! Hahaha minum! Minum! Tambah lagi! Tambah! Ha ha ha!” sogokan Teoh Aik Poey disahut dengan sorakan di pihak pembangkang tadi. Teoh bukan pemandu teksi, tetapi pelanggan setia Pak Bahadun yang bersahabat baik dengan Tauke Ah Chong, ‘sleeping partner’ kepada pemilik Teksi Honeymoon.

“Eleh.. macam la tambang hangpa tu murah sangat. Hari tu tukaq lampu ataih bumbung dengan hat terang sikit pun dah naik sekupang!” Afzanizam menambah lagi, sambil cuba memujuk Pak Din.

‘Pedulikanlah..’ bisik hati Pak Din, memujuk diri. Teh tarik Pak Bahadun dirasakan pahit macam Tongkat Ali.

………………………………………………………………………………………………………………..

Jadual hariannya pun dah hampir ke penamat. Hanya tinggal satu saja lagi tugas yang belum selesai. Figuranya mungkin tidak sebesar mana, namun rutin ini tetap dianggap penting sekali. Dari jauh sudah kelihatan satu susuk tua, menanti di sebuah perhentian bas lama.

Pak Mat. Pelanggan tetap yang sangat lama. Cukup lama, sejak zaman muda arwahnya lagi. Malah lelaki itu  telah dianggap sebagai bapa keduanya. Bermula zaman Pak Mat bertugas sebagai atendan di Hospital Besar ketika mudanya, sehingga kini apabila dia terpaksa berulang alik mengambil ubat di lokasi yang sama, baik Pak Din mahupun arwah bapa Pak Din tidak pernah gagal menjemput dan menghantarnya. Kadangkala tidak diminta bayaran pun, sampai orang tua itu sendiri pun mengeluh.

Honda Accord model baru itu dihentikan tepat di depan perhentian tersebut.. decit tayarnya membuat Pak Mat tercengang.

“Oh.. hang Din. Amboih.. tak habaq pun noo, nak tukaq kereta.”

Pak Din tersenyum. Sapaan itu ternyata mengandung seribu makna.

“Saja tukaq angin, Pak Mat. Sila laa naik,” balas Pak Din, seraya turun lalu membuka pintu belakang.

Kalau dulu, setiap hari dia singgah di sini. Kini, seminggu dua kali. Dan tentunya, percuma. Berapalah sangat nak dikenakan terhadap orang tua itu.

Pak Mat menghulur tongkatnya pada Pak Din, sambil sempat menjeling luaran kereta itu dalam rasa was-was untuk melangkah masuk.

“Lawa kereta ni. Mesti mahai ni kan? Er.. takpa ka, orang tua kotoq macam aku ni masuk Din oi? Hehe.”

Pak Din mengetap bibir. Lawak orang tua.. begitulah. Dalam manis, pahitnya sampai terus ke pangkal lidah.

“Alah masuk la Pak Din aih. Kereta ja baru, pemandu dia dok lagu tu ja jugak! Haha..” balas Pak Din sebaik mungkin, merendah diri dan beralah.

Sejurus kemudian, kereta itu melangkah pergi.

………………………………………………………………………………………………………………..

“Hmm.. nak tanya sikit Din. Hang jangan marah pulak noo. Berapa hang caih kalau dari sini balik Simpoq?” Pak Mat tak dapat menahan rasa ingin tahunya. Alah, dia orang tua. Cukup maklum akan tak ada salahnya bertanya.

“Err.. mahai sikit dari biasa, Pak Mat,” Pak Din serba salah menjawab.

“Yalah.. kereta baru, memang la mahai. Berapa?” Pak Mat asak lagi, selamba.

“Err.. mahai 5 kupang.”

“Hmm..” reaksi Pak Mat masih selamba. “Maknanya, kalu aku ni kena bayaq RM5.50 la?”

“Ya. Lebih kurang tu la.”

“Hmm..” reaksi Pak Mat masih mendatar. “Hang jemput orang ni, hang bagitau siap-siap dak?”

“Bagitau. Sebelum depa naik, saya bagitau awai-awai dah. Kalau tak sanggup, saya nasihat suruh tahan teksi lain.”

“Ramai ka naik?” sesi soal jawab itu semakin rancak.

“Buleh la tahan. Hat besa naik, tak bunyi sangat. Hat tak besa naik tu yang merungut sikit.” Pak Din menjawab jujur.

“Mau jugak depa naik noo…” jawapan yang tak seenak mana, seolah-olah memperbudakkan transformasinya itu. Semangat Pak Din yang dikobar dek deretan penumpang sejak pagi santak ke senja, terus malap langsung. Orang yang diharap akan menyokong, rupanya menayang undi kosong.

Entah bagaimana, sesi itu tamat di situ. Mungkin kerana tiada keperluan yang mendesak untuk Pak Mat bertanya lagi, atau destinasi yang sudah semakin hampir.

Namun, sesuatu yang tidak diduga terjadi tatkala Pak Din memapah Pak Mat keluar dari keretanya.

“Nah, ambik la ni, tambang aku. Tanda aku sokong apa yang hang buat ni. Tapi ingat, bukan semua orang akan paham. Jadi, hang kena steady. Jangan paksa depa. Insya-Allah satu hari nanti depa paham jugak. TAPI jangan sekerat jalan ja pulak naa. Kirim salam orang rumah hang.”

Pak Din kelu. Tatabahasanya lumpuh sama sekali. Dua keping not hijau biru itu digenggam lumat.. sambil matanya bergenang. Pak Mat melangkah pergi, tanpa menoleh. Pak Din menunduk, merenung kembali not di tangan.. tanda masih enggan percaya. Sedikit menyesal, kerana tak sempat menolak seperti lazimnya.

Akhirnya, syukur memakan angan. Bibir Pak Din tak berhenti mengumat hamdalah. Separa sedar, dia beransur ke ruang pemandu. Langit kirmizi ditenung, seolah memandang tepat ke arah penciptanya; tanda syukur dalam keazaman yang tidak terhingga. Tidak sabar rasanya hendak melapor pada Muiz akan prestasi hari pertamanya ini. Mudah-mudahan terbuka hati majikan mudanya itu untuk perubahan yang lebih meluas.

Sebaik gear ditarik ke belakang, ke tanda D serta kaki hendak dilepas dari pedal brek, tiba-tiba tingkapnya diketuk.

Pak Mat. Wajahnya tidak puas hati. Alahai.. semangat tadi mula berkira-kira hendak melayang kembali. Tingkap segera diturunkan.

Pak Mat menghulur telapak tangan, sambil bertanya keras, “Belen aku mana?”

 

 

 

 

Advertisements

15 thoughts on “Naik Lagi?

  1. Janji-janji Pakatan sebelum PRU12 di Selangor. Antaranya ialah:

    * membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak yang dilahirkan
    * bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nursery
    * bantuan RM1000 setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti
    * bantuan RM50 sebulan bagi setiap anak yang masuk pra sekolah
    * biasiswa untuk semua anak selangor
    * bantuan untuk anak-anak muda bagi mendirikan rumahtangga
    * mencarum takafulRM2,500 untuk warga emas, kurang upaya dan anak yatim
    * memberi elaun khas kepada ibu tunggal
    * memberi elaun khas kepada suri rumah sepenu masa
    * membantu setiap rakyat Selangor bagi mendapatkan kediaman sendiri
    * ayaq free

    hang tolong tengok hat mana yang depa dah buat…yang setakat aku tau ayaq free ja depa bagi…macam ni pun ramai dok percaya lagi..

    • Ishh ang ni. Tu pun tak bersyukur lagi ka. Aku bil ayaq sampai jadi negatif woo.
      Apapun, kita ucap terima kasih n tahniah laa kat depa, sebab berjaya laksanakan hat satu tu.

      Hat laen tu, maybe depa dok tunggu SUK baru luluskan kot. TETTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTTT!!!!!!~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s