LEMBAH MAJAGANGGA Besraya : The Adventure Resumes

WARNING : Entry ini adalah amat, amat panjang dan berat. Sebarang kemalangan jiwa tidak akan ditanggung oleh pihak penerbit. Harap maklum.

Gua tengah drive pagi tadi lepas hantar Isteri gua kat Putrajaya, bila tetiba gua terperasan yang gua dah terlepas simpang fly over untuk ke Serdang Raya. ALAMAK! Padahal dari awal lagi gua dah cuba elak dari masuk highway bertol, malangnya gua tertewas jua.

Gua pejamkan mata, fikiran gua tumpukan. Terasa aura Penjejak mengalir dalam diri. Kilat sabung menyabung. Matahari mula segan, berselindung. Maka, bermulalah bahagian ketiga pengembaraan Sang Penjejak Lebuhraya. (Pengembaraan dua bahagian terdahulu tidak mendapat kelulusan LPF, jadi hanya bahagian ketiga ini saja yang sampai untuk tayangan di Malaysia).

_____________________________________________________________________


Alamak.. nak buat mende 20 sen! Aduh..” kata Sang Penjejak, tatkala tol kelihatan semakin hampir.

 

Maka langkah yang paling unggul, adalah berhenti di tepi jalan (sua arah). Berhenti seketika, tanpa maksud untuk berundur. Pantang mengalah sebelum ajal. Senyum, tak perlu kata apa apa.

 

Sang Penjejak cuba memerah segenap indera. Ternyata naluri seorang pahlawan tak pernah silap. Dari jauh, kelihatan jata megah Sang Harimah Gagah.

 

Sayup, namun jelas terpampang. Tampah gagah, bukan? Namun untuk bertemu Sang Harimau, bukan calang laluannya.

 

Ajal taruhannya.

 

Kudrat tunggangannya.

 


Ah! Alang berpeluh biar masam, resam si jantan masakan gentar dugaan! Sasaran perlu dituju! Musuh wajar diburu! Ganjaran wajib masuk saku! (Ye, semata mata nak kekalkan rima pantunnya ye, tuan tuan dan puan puan)

 

Tinggallah dulu, tungganganku. Daku bermohon pergi dahulu.” Ucap Sang Penjejak, sebak, namun akur.

 

Halangan pertama ditempuhi selamba. Tujuh lembah dilangkah, gentar tiada.

 

Gunung Majagangga?” Aduh.. suara Sang Penjejak kendur tetiba. Namun azam dikumpul semula, tekad kembali menjelma.

 

Hanya dengan sekali nafas, tubuh Majagangga dilompatinya. Kehebatan Sang Penjejak nyata seampuh namanya! Tiba-tiba hati Sang Penjejak terdetik rimas. Kelopak mata kiri menguit sakan. Apakah pula musibah yang menanti kali ini?

 


Menurut pengalamannya yang berjuta, dia maklum akan celaka yang menanti, andai sedetikpun dia leka. Lembah Majagangga ini bukan mainan. Sang Harimau Gagah tahu dan arif amat akan perihal menjaga gelanggangnya. Maka itu, diperintahkan Raksasa Kuning membuat rondaan di bawah lembah, diikuti konco-konconya yang setia. Walaupun kelibatnya tidak disedari, namun Sang Penjejak tetap tak sedap hati.

 

TUNGGANGANKU!!!

Entah dari mana, tiba-tiba muncul kelibat Penunggang Solo Berkuda yang diketahui umum sangat, sangat berbahaya, merapati Tunggangan yang ditinggalkan jauh di seberang lembah! Sang Penjejak mula goyah. Hendak berpatah balik, bukan kecil anak jaraknya – seribu tahun cahaya! Dia cuba memusatkan tenaga mindanya ke arah Tunggangan, untuk menyalurkan tenaga alam kepadanya. Mana tahu, berguna.

 

Ternyata ilmu yang memenuhi dada menjadi bukti, Sang Penjejak bukanlah orangnya untuk diusik, apatah lagi diganggu gugat! Penunggang Solo kelihatan perlahan-lahan menjauhi Tunggangan, bersama kudanya yang maha laju. Walang hati Sang Penjejak, pun surut kembali.

 

Kubu Sang Harimau kini di depan mata. Pertarungan tak dapat dielak lagi. Kerana sedar akan kesudahan yang barangkali saja berkesudahan sia-sia, maka keduanya bersetuju untuk berbalas serangan sebanyak 3 jurusan. Sang Penjejak, sebagai petarung tamu, diberi penghormatan untuk memula – strategi yang nyata memakan tuan!

 

Dari jauh, Kultus Penjejak di Piring Dunia hanya bersiaga andai Sang Penjejak gugur. Namun dah namanya pun Sang Penjejak, pastilah kejayaan sahaja makanannya! Hanya dengan dua jurus, Sang Harimau menyerah kalah. Ganjarannya – kertas hijau hikmat yang menjadi kunci utama bagi  Sang Penjejak meneruskan kembaranya pulang ke Pusat Piring Dunia. Sambil mengucapkan terima kasih, Sang Penjejak melepaskan jurus terakhir sebagai cenderamata. Sang Harimau Gagah pula terkasima dan senyum, tak perlu kata apa apa.

 

Di kejauhan, Sang Penjejak dapat rasakan senyuman yang diberikan oleh Tunggangan. Raksasa-raksasa lain hanya melintas begitu saja tanpa sebarang niat membunuh, akur akan kekalahan pemerintah tertinggi mereka. Sang Penjejak mengatur langkah, menyeberang kembali dengan riaknya.

 

Kali ini, dengan gerak perlahan sahaja. Tiada lagi lompatan tangkas seperti tadi. Pemenang, berhak untuk melakukan apa saja bukan?

 

Menyedari tingkahnya itu hanya membuang masa, maka Sang Penjejak kembali meneruskan gaya lompatan bersahajanya, merentas tujuh lembah untuk kembali ke seberang.

 

Tunggangan.

Menanti dengan gagah dalam senyuman, seperti selalu.. menandakan tamatnya pengembaraan mereka kali ini. Sesungguhnya Sang Penjejak dan Tunggangan, seperti api dan arang, aur dengan tebing. Tidak kan pincang, sentiasa di samping.

 

Dengan itu, selamatlah keduanya tiba di Pusat Piring Dunia. Kultus Penjejak pun kembali aman, dengan kembalinya wira mereka yang terunggul, Sang Penjejak Lebuhraya. Sebagai balasan atas kejayaannya menempuh siri ketiga pengembaraan kali ini yang tidak tergambarkan lagi tahap kepayahannya, dianugerahkan ke atasnya Kitab Magna Besraya yang teragung. Semoga menjadi warisan terulung.

.

.

.

.

.

.

.

.

p/s : Kalau takde duit, jangan lalu highway bertol. Kalau memang dah ada niat nak elak highway bertol tu, pastikan kepala tak lari ke sana sini sampai terlepas simpang untuk keluar dari highway bertol tersebut. Dan pastikan sekurang-kurangnya ada Rm2.50 dalam poket (kadar tol paling mahal bagi highway di KL ni – tidak termasuk highway PLUS dan NKVE ye), bagi sesiapa yang tidak pasti mana highway bertol dan mana yang tidak di KL ini. Mesej, dari Sang Penjejak Lebuhraya dan Pusat Piring Dunia.

Advertisements

5 thoughts on “LEMBAH MAJAGANGGA Besraya : The Adventure Resumes

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s