Aku Cute!

Air mata seorang lelaki adalah amat, amat mahal.. sekiranya hendak ditimbang dengan apa jua entiti fizikal yang berharga. Pernyataan ini, aku bina berasaskan hakikat bahawa betapa yang mengempang cairan jernih tersebut adalah dindingan ego yang teramatlah tebal dan kukuhnya.

Namun itu, sudah tidak lagi diterima pakai oleh sebilangan wanita masa kini. Pada mereka, lelaki yang mampu menangis itu juga mampu memahami. Hatinya lembut, jadi mudah ditembusi. Dan ada juga sebahagian besarnya fikir, lelaki semacam ini cute.

Hahaha lucu. Cute, sebenarnya bermaksud sesuatu yang tidak cantik tetapi sedap dipandang.

Jika pendapat di dua para lebih atas tadi diterima pakai, maka dengan bangga, sombong, riak dan takburnya aku akui aku cute. Hehe. Sebab, beberapa hari yang lalu aku.. err.. ada menangis.

Aku menangis di Masjid Besi, bila Sang Imam di atas mimbar menyuarakan walang dan bimbang. Bukan berskrip, bukan lakon-buat yang bertertib.

Aku menangis bila memikirkan betapa dua Fatihah yang kubaca itu adalah yang terakhir untuk kubaca di masjid itu, jika apa yang digusarkannya dalam ratibnya sebelum itu benar-benar menjadi nyata.

Aku terus menangis bila memikirkan, apakah itu Jumaatku yang terakhir di masjid itu? Apakah mungkin masjid indah itu akan terus dibiarkan berfungsi, andai semuanya benar-benar terjadi?

Buat pertama kali dalam hidup, aku baca ibu al-Karim itu dengan patah di mulut seiring patah tafsirnya di hati. Sungguh. Terkesan sekali.

Tak aku peduli makmum di sebelahku terganggu dengan sentapan hingusku yang menggila – pertama kali juga berlaku pada aku dalam solat fardhu jemaah yang sebegitu. Kalau berseorang, iya.. yang itu, ada dalam norma.

Sendu aku tak terhenti di situ. Usai saja wirid, ajakan Hajat pula bergema. Pinta dipohon keamanan dan kedamaian ini kekal hendaknya. Dalam lemah itu, aku akur.. walau esak masih menghambur. Tidak lama selepas itu, baru aku sedari yang tidaklah keseorangan esak aku itu.

Doa yang dibaca, kedengaran cukup payah untuk diungkapkan. Sungguh. Sang Imam juga tertewas dalam sendu. Begitu juga beberapa orang makmum di kelilingku.

Apa sudah jadi? Angin apa yang datang menyerang? Bayu apa yang menghembus? Adakah hawa dingin natural rumah-Nya itu terlalu menusuk, sampai menggetar hati?

Nah.. itulah cagarannya. Garang besi di masjid, tak mampu menahan jemaahnya dari menjadi lemah. Lemah kerna memikirkan nasib bangsa yang longlai. Lemah kerna meratapi kemungkinan tiada lagi cerah masa depan yang mampu dituai.

Makanya, seluruh Masjid Besi tiba-tiba saja bertukar menjadi cute. Hanya kerana ancaman berani sekumpulan badut yang sebenarnya lebih penakut daripada pengecut.

Jika dicabar menitiskan darah, pasti si polan sekumpulan menyahut tanpa agakan. Namun cuba dicabar tumpahkan airmata tanpa kata, apakah tegarnya masih di tahap biasa?

Pelakon yang baik adalah pelakon airmata, kata mereka. Lalu berlakonkah kami semua? Ahh.. takkan mungkin Dia membiar saja ‘pementasan’ yang sebegitu bagus, memperolok kesucian rumah-Nya. Takkan mungkin seluruh saf bergelumang sendu kerana mengikut tata babak yang direka.

Makanya, terima kasih buat Bersih.. kerana kalian aku sempat kecapi satu lagi nikmat.

Terima kasih buat Bersih, kerana mengajar aku supaya takut akan hilangnya nur kasih.

Dan terima kasih juga buat Bersih, merusuh empang egoku sehingga pecah.. atas sebenar-benar ikhlas di rumah Allah.

______________________________________________________

Ini tanah kita, pesan bonda
kau akan bersemadi di bawahnya.

Kita perlu menjadi seorang tua
kala petang, dia berseorangan di bawah pohon
kemboja- menatap langit, menadah tangan;
menzikiri nama Tuhan
bertubi-tubi, air matanya membasahi pipi.

Pesannya, liang tanah ini
akan mengisi jasad-jasad berani.

Dia sedang berkira-kira, bagaimana
untuk menjadi lelaki paling berani
bakal mendiami liang tanah ini.

Pesan bonda lagi
belajar-belajarlah meniduri tanah ini
kalau-kalau, esok kau mati.

Kau tak perlu semutar
untuk menunjukkan alimmu di depan Munkar
kau tak perlu sihir
untuk bersembunyi dari Nakir
yang perlu kau tahu
tanah ini asalmu.

Basah tanah ini
memang sentiasa menanti kau kemari

Di bawah redup kemboja yang lain
seperti ternampak lelaki tua itu
menggali liang tanah
untuk jasadnya sendiri

..credits to Salman Sulaiman.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s